Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di PWTC

Alhamdulillah, sampai juga hajat saya untuk ke pesta tersebut semalam, 1 Mei 2017 sempena cuti Hari Pekerja. Kali ini ia diadakan di PWTC semula, mudah rasanya ke situ berbanding jika ke MAEPS. Terasa serik juga mengunjung MAHA 2016 yang diadakan di situ, jalan sesak dari semua arah, kena parking kereta sangat jauh dan menapak ke tapak ekspo dalam terik matahari, dan sebagainya.

Begitu ramai dan meriah sekali suasana di sana. Berpuluh mungkin beratus-ratus reruai pempamer dari pelbagai penerbit dan agensi, menawarkan diskaun dan pakej yang menarik. Turut dikerumuni penulis-penulis khususnya novelis-novelis remaja untuk berswafoto dan menandatangani novel yang dibeli.

Bagi pencinta-pecinta buku, kepelbagaian jenis dan judul buku, tawaran harga serta dapat bersama-sama dengan penulis-penulis yang diminati suatu pengalaman yang tidak akan dilepaskan. Inilah juga masanya ibu bapa mendidik anak-anak mereka menghargai buku dengan membelikan buku yang anak-anak mereka minati.

Tidak terkira banyaknya judul buku yang ingin disunting, tapi apakan daya. Terpaksalah membuat pertimbangan atas kemampuan semasa. Saya membeli sebuah buku kisah nabi-nabi karangan Al Hafidz Ibnu Katsir untuk bacaan anak cucu di kemudian hari, termasuk diri sendiri yang amat daif ini. Namun buku itu saya beli setelah selesai membeli buku-buku lain kerana ia sangat tebal untuk dibawa-bawa ke sana sini. Harganya boleh tahan juga.

Sebulan dua ini saya seronok mengikuti tulisan Sri Serikandi melalui blog beliau. Saya rasa beliau perlu disokong dan saya sampai ke reruai yang menjual buku-buku beliau. Saya memilih tiga judul yang paling laris dengan harga pakej.

Anak remaja saya pula membeli tiga buah novel tulisan Ain Maisarah. Ada lebih kurang tujuh lapan peminat beliau menunggu untuk mendapatkan tanda tangan sambil berswafato tetapi rasanya beliau mengambil masa terlalu lama melayan setiap seorang peminat, lantas kami terpaksa beredar. Isteri saya tidak berapa larat mengikut saya dan lebih selesa duduk tetap sambil memerhatikan gelagat orang ramai dengan sabar, seperti mana saya di kompleks membeli belah.

Kemudian saya ternampak sebuah buku berjudul Kurik Kundi Merah Saga dijual dengan harga hanya RM 10.00 senaskhah. Ia berisi pantun dan agak tebal, rasanya ada beratus-ratus pantun di dalamnya. Anak saya amat menyetujui pilihan saya dan saya terus membayarnya. Waktu itu juga saya ternampak buku Wasiat Iman dan Amal, milik adik saya yang pernah saya baca hingga khatam kira-kira tiga puluh tahun yang lalu, Buku yang satu ini banyak membuka minda dan hati saya ke arah mendalami Islam. Ia versi berkulit keras dan amat sesuai sebagai koleksi untuk anak cucu saya.

Setelah itu barulah saya berkira-kira untuk pulan walau masih banyak reruai lagi yang belum diterokai. Jika ada kesempatan hari Sabtu atau Ahad akan datang yang merupakan tarikh akhir pesta saya akan ke sana lagi, tapi kali ini harus bersendirian.

Comments

Popular Posts