Cikgu dulu
Seringkali ternampak kelibat beberapa orang cikgu-cikgu yang pernah mengajar saya di sekolah rendah dulu. Meskipun tinggal mungkin hanya beberapa, ia cukup membuat hati ini kembali ke alam kanak-kanak suatu ketika dahulu. Mereka merupakan jambatan ilmu. Rasanya ramai telah pergi buat selama-lamanya, tidak disebut-sebut lagi.
Salah seorang daripadanya yang masih hidup, suka berbasikal, begitu jugalah agaknya dia sewaktu masih mengajar dulu. Rata-rata ramai orang berbasikal sekitar tahun 60an hingga awal 70an, termasuk cikgu-cikgu. Ada yang berkereta seadanya, dan ada yang bermotosikal, tetapi yang pasti tempat meletak kereta tidak pernah penuh sesak, malah kelihatan lapang sahaja.
Murid-murid pula ramai yang berjalan kaki, ada yang berbasikal, dan yang tinggal jauh menaiki beberapa buah bas untuk budak sekolah, bukan bas sekolah. Boleh dikatakan di kiri atau kanan jalan raya menuju atau balik dari sekolah akan dipenuhi murid-murid yang berduyun-duyun berjalan kaki sambil diselangi beberapa buah basikal. Amat meriah rasanya, lebih-lebih lagi ketika pulang dari sekolah. Mana-mana yang menaiki bas kenal akan bas masing-masing dan berebut-rebut menaikinya samada dari pintu hadapan atau pintu belakang, atau memanjat masuk melalui tingkap. Siapa yang lambat atau lembik, berdirilah jawabnya.
Sesekali kelihatan cikgu tadi memandu kereta lamanya, model Toyota Corolla atau dikenali juga dengan KE20. Orang lama tentu kenal kereta ni, mungkin dibeli sekitar awal 1970an dan tidak pernah dimadukan hingga kini. Kekal slim orangnya, setiap masa bercelana dan berkemeja lengan pendek yang dilepaskan keluar dan bercapal. Dia masih sihat, sering terjumpa di perpustakaan awam membaca akhbar. Rupanya di situ ada lagi geng-geng cikgu seangkatan dengannya, masih berpakaian kemas dan rajin membaca, tapi bukan cikgu yang mengajar saya.
Lagi seorang setiap masa berpakaiaan lengkap, berkemeja lengan panjang, baju dimasukkan ke dalam seluar, bertali pinggang, berkaca mata tebal serta bersetokin dan berkasut kulit hitam, meskipun sudah agak pudar. Sesekali pernah kelihatan memakai jeans tetapi tetap berbaju kemeja lengan panjangnya, baju dimasukkan ke dalam seluar seperti lazimnya. Di tangannya sentiasa ada pen atau pensel serta lembaran kertas Sudoku. Kalau tidak di perpustakaan, dia akan berada di tempat-tempat awam bersendirian, bersila panggung sambil menyelesaikan masalah Sudokunya, paling tidak membaca akhbar yang dibawanya ke mana-mana. Tidak pernah kelihatan dia memandu kereta atau motosikal, hanya kelihatan berjalan kaki sahaja.
Minggu lepas ketika ke pasar minggu, terjumpa pula guru kelas saya ketika berada di Darjah 1. Sebelum itu pernah beberapa kali ternampak dari jauh di bandar tetapi tidak berpeluang campur segan hendak menyapanya. Jika bertembung pasti akan disapa rasanya. Dia tentu tidak kenal lagi namun pasti teruja bila ada yang masih mengingatinya.
Dia begitu anggun ketika mudanya dan menjadi kegilaan ramai jejaka. Murid-murid Darjah 1 setiap tahun amat menyayanginya. Aktif dalam permainan badminton dan bertemu jodoh di gelanggang badminton juga, suaminya seorang guru juga. Beliau kelihatan telah tua dan kecut, tetapi kelihatan gagah dan berjalan tegak seperti dulu. Rasanya beliau seolah-olah tidak pernah menghadapi masalah obesiti. Pastinya tidak ramai yang tahu akan kejelitaan beliau satu masa dulu. Kedua-dua mereka kelihatan masih sihat dan maintain slim, kata orang. Semua rakan sekelas dan satu sekolah pasti ingat akan beliau, sangat penyayang dan bersungguh-sungguh.
Seorang lagi agak garang sewaktu mudanya. Susah hendak mengelak kepantasan tangannya. Sering kelihatan bersenam di taman rekreasi. Selalu bertembung dengannya semasa berjoging tetapi dia hanya berjalan sahaja. Saya tidak pasti dia mengenali saya kerana saya bukan sesiapa sewaktu di sekolah dulu, lagipun masih terasa seriau setiap kali melihatnya.
Mungkin ada lagi cikgu-cikgu lama yang sempat mengajar saya di sekolah rendah atau mengajar di sekolah yang sama ketika itu, namun telah terlalu uzur dan kini telah berusia sekurang-kurangnya pertengahan 70an. Kebanyakan jika masih hidup telah mencecah usia 80an ke atas.
Namun empat orang yang masih berada di jalanraya sehingga kini adalah mereka yang giat bersukan sejak muda seperti bermain badminton, atau secara tidak langsung seperti berbasikal dan berjalan kaki ke sana sini. Mereka juga masih kekal dan mampu menjalani kehidupan sihat seperti membaca, mengunjungi perpustakaan, taman-taman awam serta ke pasar. Tidak pernah kelihatan merokok atau minum teh di gerai-gerai. Kesemuanya masih slim, seolah-olah dalam keuzuran, berbanding dengan rakan-rakan mereka yang boroi dan telah lama tidak kedengaran.
Di kala ini amat jarang bertemu cikgu-cikgu lama dari sekolah rendah. Bagi saya mereka merupakan sesuatu yang amat berharga yang akan hilang akhirnya dan dilupakan. Mereka berkhidmat di kala profesion perguruan masih dipandang mulia dan dihormati oleh masyarakat, walaupun tidak memberi pulangan kewangan yang lumayan. Hanya murid-muridnya seperti saya dan seangkatan dengan saya sahaja akan terasa kehilangan mereka.
Kini jika terjumpa bekas-bekas anak murid yang telah bekerja, atau berselisih di jalanan, ramai yang buat-buat tidak kenal dan menyangka saya tidak mengenali mereka. Yang pandai-pandai dan kini berkedudukan tinggi, seolah-olah tidak berada di negara ini lagi. Yang kurang pandai terus lupa cara-cara memberi salam kepada orang lain.
Namun ada juga yang kekal mesra seperti dahulu. Biasanya mereka dari kumpulan murid yang sederhana tetapi terdidik dengan budi bahasa. Dari pengalaman, kumpulan inilah yang tidak segan-segan menegur cikgu walau di mana atau dalam keadaan apa sekalipun.
![]() |
| Gambar Hiasan- Ihsan izamree.wordpress.com |
![]() |
| Gambar Hiasan - Bas Seddon |
![]() |
| Toyota Corolla |
![]() |
| Gambar Hiasan |

Comments
Post a Comment